20 August 2014

ANUGERAH INDIVIDU



PENJARING TERBANYAK                          :   NIK MUHD AIMAN B. NIK ROZEMI (MALAYSIA)
                                                                           MUHD ZULHAMIZAN B. AWANG ABAS (MALAYSIA)


PENJAGA GOL TERBAIK                                :   SURIPHONG JONGJUM (THAILAND)


PEMAIN TERBAIK (PERLAWANAN AKHIR)   :  MUHD HAFIZUDDIN ZAIDI (MALAYSIA)


PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN                    :  LUQMAN NUL HAKIM B. AHMAD SHUKRAN (MALAYSIA)



MALAYSIA KEKAL GELARAN


Ipoh: Tuan rumah, Malaysia seperti diduga berjaya mempertahankan gelaran Hoki Sekolah Asia 2014 apabila membelasah Singapura 10-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

Seperti dijangka , tuan rumah jelas terlalu gagah buat lawan yang membuat kemunculan pertama dalam perlawanan akhir selepas edisi ke-4.

Hasrat menyaksikan perlawanan akhir menarik tidak menjadi kenyataan kerana Singapura tidak terdaya memberi tentangan kepada pasukan juara itu.

Malah perlawanan berlangsung berat sebelah, hingga menyaksikan penjaga gawang Malaysia, Adrian Andy Albert yang kemudian digantikan oleh Muhd Syarifuddin Mohd Zain sekadar menjadi penonton .

Malaysia mendahului 6-0 pada babak pertama tetapi memperlahankan rentak pada separuh kedua untuk hanya menjaringkan empat gol .

Pada perlawanan itu Muhd Hafizuddin Zaidi, dan Muhd Najme Ahmad Hayazi masing-masing menyumbang dua gol. Manakala baki gol Malaysia disumbangkan oleh penjaring terbanyak, Nik Muhd Aiman Nik Rozemi, Mawardi Hamirin, Khairul Helmi Napi, Abdul Khaliq Hamirin, Muhd Luqman Hakim dan Luqman Nul Hakim.

Malaysia turut memenangi anugerah `Pemain Terbaik Perlawanan` melalui Muhd Hafizuddin Zaidi dan` Pemain Terbaik Kejohanan’ Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran.

THAILAND MENDUDUKI TEMPAT KE-3

IPOH:  Thailand menumpaskan Indonesia 4-0 untuk menduduki tempat ketiga Edisi ke-4 Kejohanan Hoki Sekolah Asia 2014 di Stadium Azlan Shah, Ipoh.
 
    Kejayaan itu nyata manis buat pasukan Negara Gajah Putih itu yang menduduki tempat ke-empat pada 2006 di Kuantan.
 
    Seperti dijangka Thailand mendominasi perlawanan dan tidak menghadapi  sebarang masalah untuk menjinakkan lawan.
 
      Thailand membuka jaringan melalui Abdulkaree Tohbee pada m-13 diikuti gol jaringan Paisan Samranjai sembilan minit kemudian untuk pasukan mereka mendahului 2-0 pada separuh pertama.
 
    Pasakorn Wadtuna mengukuhkan kedudukan Thailand seminit saingan babak kedua berlangsung dan Theppithak Namkhot melengkapkan kemenangan pasukannya pada minit ke-63.

19 August 2014

MALAYSIA BERTEMU DENGAN SINGAPURA DI FINAL



Tuan rumah, Malaysia akan bertemu Singapura dalam perlawanan akhir kejohanan Hoki Sekolah Asia 2014 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam ini.

Malaysia yang juga adalah juara bertahan layak ke final selepas membelasah Thailand 10-0 manakala Singapura pula membedil Indonesia 8-0 dalam separuh akhir.

Begitupun kemaraan Malaysia memang sudah diduga manakala bagi Singapura ini adalah penampilan pertama mereka dalam perlawanan akhir.

Pada perlawanan malam tadi,  walaupun tidak menunjukkan kesungguhan Malaysia ternyata terlalu gagah  buat lawan apabila mendahului 4-0 pada babak pertama.

Muhd Zulhamizan Awang Abas menyumbang 2 gol manakala baki gol dihasilkan oleh Nik Muhd Aiman Nik Rozemi, Muhd Hafizuddin Zaidi, Muhd Asyraf Hadi Ramley, Muhd Najme Ahmad Hayazi, Abdul Khaliq Hamirin, Muhd Luqman Hakim, Mawardi Hamirin dan Mohd Aliff Syazwan.

SINGAPURA MASUK FINAL





IPOH:   Singapura  layak ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Sekolah Asia 2014 dengan bergaya apabila membenam Indonesia 8-0  di Stadium Azlan Shah, Ipoh, petang semalam.

Ini adalah penampilan pertama pasukan republik itu dalam perlawanan akhir  kejohanan yang diadakan buat kali  ke-4.

Pada perlawanan itu, Singapura mendahului 2-0 pada babak pertama dan memperhebatkan permainan mereka  pada separuh kedua dengan enam jaringan.

Muhammed Fauzi A Wahab menyumbang hatrik manakala Dineshraj Naidu dua gol dan Darren Dian Lun Sia serta  Muhammad Mikaaiel dan Gurveer Singh Bhandal  masing-masing satu.

Darren membuka jaringan pada minit 14  diikuti lapan minit kemudian oleh Muhammad Fauzi untuk Singapura mendahului 2-0 pada waktu rehat.

Kubu Indonesia roboh empat kali dalam tempoh lima minit mulai minit ke-50 apabila Mikaael, Dineshraj, Fauzi dan Dineshraj  menemui sasaran. Fauzi dan Gurveer Singh kemudian melengkapkan kemenangan Singapura.