16 August 2014

KEJOHANAN HOKI SEKOLAH ASIA KE-4 MEDAN ERAT HUBUNGAN SILATURAHIM

IPOH: Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Dr Khair Bin Mohamed Yusof berharap kejohanan Hoki Sekolah Asia kali ke-4 berlangsung di Ipoh akan menjadi medan peserta mengeratkan hubungan silaturahim.

Datuk Dr Khair berkata di samping menunjukkan kemahiran dan bersaing sesama sendiri, pemain harus mengambil kesempatan menunjukkan semangat persahabatan yang tinggi sesama mereka.

"Sudah tentu anda akan menunjukkan kesungguhan dan kemahiran tinggi dalam usaha menyaingi satu sama lain. Namun lebih penting ialah menunjukkan semangat setiakawan yang jitu.

"Saya ingin memetik kata-kata legenda olahraga Amerika Syarikat yang merangkul empat pingat emas di Sukan Olimpik Berlin 1936, Jesse Owens.

Menurutnya; "Persahabatan yang lahir di lapangan olahraga adalah emas sebenar kejohanan. Anugerah menjadi pudar tetapi persahabatan tidak lapuk."

"Sehubungan itu saya berharap anda akan mengambil peluang ini untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan sesama sendiri," katanya semasa berucap pada majlis perasmian di Hotel Syuen, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Tuan Haji Mohd Idris Bin Haji Ramli dan Pengarah Bahagian Sukan Kementeran Pendidikan Malaysia (KPM), Puan Yee Hong.

Dr Khair menambah, "Sukan menjadikan sesorang itu gagah, sihat serta belajar menerima kekalahan dan meraikan kemenangan . Nilai-nilai ini sudah tentu akan menjadi asas kukuh membina kejayaan dalam hidup.  Selaku duta muda negara masing-masing ia juga baik untuk masa hadapan rantau ini," katanya.

No comments:

Post a Comment