20 August 2014

MALAYSIA KEKAL GELARAN


Ipoh: Tuan rumah, Malaysia seperti diduga berjaya mempertahankan gelaran Hoki Sekolah Asia 2014 apabila membelasah Singapura 10-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

Seperti dijangka , tuan rumah jelas terlalu gagah buat lawan yang membuat kemunculan pertama dalam perlawanan akhir selepas edisi ke-4.

Hasrat menyaksikan perlawanan akhir menarik tidak menjadi kenyataan kerana Singapura tidak terdaya memberi tentangan kepada pasukan juara itu.

Malah perlawanan berlangsung berat sebelah, hingga menyaksikan penjaga gawang Malaysia, Adrian Andy Albert yang kemudian digantikan oleh Muhd Syarifuddin Mohd Zain sekadar menjadi penonton .

Malaysia mendahului 6-0 pada babak pertama tetapi memperlahankan rentak pada separuh kedua untuk hanya menjaringkan empat gol .

Pada perlawanan itu Muhd Hafizuddin Zaidi, dan Muhd Najme Ahmad Hayazi masing-masing menyumbang dua gol. Manakala baki gol Malaysia disumbangkan oleh penjaring terbanyak, Nik Muhd Aiman Nik Rozemi, Mawardi Hamirin, Khairul Helmi Napi, Abdul Khaliq Hamirin, Muhd Luqman Hakim dan Luqman Nul Hakim.

Malaysia turut memenangi anugerah `Pemain Terbaik Perlawanan` melalui Muhd Hafizuddin Zaidi dan` Pemain Terbaik Kejohanan’ Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran.

No comments:

Post a Comment